Ahlan Wahsalan :)TQ

Monday 14 April 2014

Keinginan untuk berubah dan dekat kan diri dengan Allah :') , aku ingin berubah!!


“Kehidupan dunia ini (jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan, dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, sekiranya mereka mengetahui.” (Surah al-Ankabut , ayat 64)
Melihat kepada fenomena hari ini, terdapat pelbagai ragam manusia. Ada kehidupan mereka yang tidak berubah-ubah sedari kecil, remaja, dewasa, tua dan sehinggalah ajal datang menjemput. Tetapi ada juga yang berubah mengikut peredaran usia dan waktu serta keinginan hati mereka dalam mencari kebenaran dan arah tuju hidup.



KEINGINAN UNTUK BERUBAH

Sememangnya sudah fitrah manusia untuk kembali kepada kebenaran meskipun mereka adalah dari golongan seburuk-buruk dan sejahat-jahat manusia. Mungkin sukar untuk percaya, seorang yang digelar ‘setan’ itu jauh di sudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.
Keinginan untuk menjadi baik dan akhirnya menemui laluan ke arah kebaikan itulah sebenarnya yang dinamakan hidayah. Dengan kehendak Allah, hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan dosa dan noda, akan ada sedikit lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya hidayah Allah untuk ditembusi terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.

Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 35 yang bermaksud,
“Allah (memberi) nur (cahaya) langit dan bumi. Umpama cahaya-Nya seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam gelas. Gelas itu seperti bintang yang berkilauan. Pelita itu dinyalakan dengan minyak pohon yang diberkati iaitu minyak zaitun yang (tumbuh) bukan di timur dan bukan di barat, minyak itu hampir bercahaya dengan sendirinya meskipun tiada disentuh api. Cahaya berdampingan dengan cahaya. Allah menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada cahaya-Nya itu. Allah menunjukkan beberapa contoh untuk manusia. Allah mengetahui setiap sesuatu.”

BERSYUKUR

Tatkala kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak, janganlah kita berputus asa dari rahmat-Nya dan merasakan diri tiada tempat di sisi Allah untuk kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya bersyukurlah, dengan terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah Allah yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir akan nikmat yang Allah berikan. Kerana dosa yang kita sedari itulah yang mendekatkan diri dengan Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan dalam diri dan mengakui kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu bergantung kepada Sang Pencipta.

Berbanding dengan mereka yang berasa diri tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa betul dalam kelakuan dan tindakan, ia cukup bahaya kerana tidak sedar diri mereka sudah berada jauh dari Allah. Mereka ini adalah golongan yang sombong dan tidak mengharapkan pertolongan Allah tetapi lebih kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja yang mendatang kebaikan dan keseronokan pada diri.

Apa yang terjadi hari ini, kita seringkali menolak seruan-seruan untuk kembali kepada Islam. Pelbagai alasan yang diberikan kerana merasakan diri masih muda dan belum tiba masanya untuk berubah. Alasan yang paling suka diberikan ialah ‘belum sampai seru!’ alasan tersebut langsung tidak munasabah. Mana mungkin kita mengharapkan sesuatu yang bernilai itu diberi secara percuma tanpa perlu berusaha untuk mendapatkannya!
Seringkali apabila kita diberikan ujian dan didatangkan suatu insiden barulah ia berjaya membuka hati kita untuk berubah. Insiden tersebutlah yang akhirnya mengetuk pintu hati kita untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Kita dikira bernasib baik jika nyawa masih dikandung badan tetapi apa akan terjadi jika kita sudah tidak diberi peluang untuk bernafas dan menebus segala dosa-dosa lalu?

HIDAYAH NALURI

Hidayah datang dalam pelbagai bentuk. Bentuk yang pertama ialah hidayah naluri (keinginan). Hidayah ini adalah sesuatu yang semula jadi ada pada diri kita sejak dilahirkan ke dunia sebagai contoh, bayi yang baru dilahirkan akan menangis apabila lapar. Nalurinya inginkan makanan bagi menghilangkan rasa lapar. Yang kedua ialah hidayah melalui pancaindera. Semasa kecil, kita dapat mengenali dan membezakan sesuatu perkara dengan menggunakan pancaindera seperti mendengar suara ibu dan ayah atau dapat mengenali sesuatu objek. Kemudiannya hidayah dalam bentuk akal fikiran yang mana ia dikurniakan oleh Allah supaya dapat memandu kita berfikir secara rasional sebelum bertindak.

HIDAYAH AGAMA

Seterusnya ialah hidayah agama. Hidayah inilah yang menyelamatkan diri kita daripada kesesatan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah SWT. Ia dapat mendorong kita melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan Allah sekali gus dapat membezakan antara perkara-perkara baik dengan perkara haram.

HIDAYAH TAUFIK

Yang terakhir ialah hidayah taufik yang mana merupakan tahap hidayah yang tertinggi kurniaan Allah kepada hambanya yang dikasihi. Tinggal sekarang, hidayah itu harus dijaga kerana nilainya tiada tara dan tidak dapat ditukar dengan apa pun. Ia menjaga kehidupan kita di dunia mahupun di akhirat kelak.

Hidayah pula diturunkan dalam dua cara iaitu hidayah pemberian makhluk sama ada dari kalangan para nabi, pendakwah ataupun sesiapa sahaja. Contohnya hidayah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad agar membimbing umatnya beriman kepada Allah. Namun, hidayah taufik ini tidak mampu diberikan oleh makhluk tetapi hanya Allah yang berkuasa. Ia tiada pada Nabi Muhammad walaupun baginda adalah seorang Rasul sebagaimana 

firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 56 yang bermaksud,
“Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi hidayah/petunjuk kepada orang yang engkau cintai, akan tetapi Allah lah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki.”

Adapun ciri-ciri orang yang sudah mendapat hidayah, mereka hebat beribadat seperti melakukan solat fardu dan sunat, mengeluarkan zakat dan rukun Islam yang lain, sentiasa memperuntukkan waktu untuk bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT selain mengerjakan keperluannya di dunia. Mereka ini tidak mampu melupakan Allah walau sesaat kerana begitu takut akan pembalasan di hari akhirat nanti. Mereka juga terlalu berhati-hati dalam setiap perlakuan agar tidak ditarik balik hidayah pemberian Allah.
Biarpun hidayah itu adalah pemberian Allah tetapi tidak bermakna kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu ia datang kepada kita. Hidayah perlu dicari dan boleh diusahakan jika kita benar-benar inginkannya dengan memohon kepada Allah. InsyaAllah, kita pasti akan diberikan hidayah.



Langkah Awal Melakukan Perubahan

Orang Muslim selalu diperingatkan tentang niat sebelum melakukan sesuatu. Innamal a’malu binniyat! Maka, apabila terdetik dihati untuk melakukan sesuatu kebaikan, pastikan kita tanya diri kita sendiri. Kerana apa sebenarnya kita ingin melakukan kebaikan tersebut?

Adakah kerana ingin dikasihi Tuhan? Atau ingin dipuji semata-mata oleh manusia?
Pergaulan seharian juga memberi impak yang besar dalam kehidupan. Dan mencari sahabat yang baik, soleh lagi beriman itu memang suatu kemestian. Carilah sahabat mahupun kawan-kawan yang sekurang-kurangnya dapat memperingati anda dengan pertanyaan sebegini,

“Kamu dah solat?”

Jika ada kawan yang sebegini, maka hargailah ia. Jagalah hubungan dengan ia. Bergaul dengan orang jahat, maka jadi jahatlah kita. Bergaul dengan orang baik, maka jadi baiklah kita.

Anda ingin menjadi seorang yang baik dipandangan ALLAh? Saya mahu. Senyum.
Kita kena yakin, ALLAh dan para Malaikat-Nya sentiasa bersama dengan orang-orang yang bertekad mahu membuat anjakan paradigma dalam kehidupannya. Berubah ke arah kebaikan bererti menuju ALLAh. Menuju ALLAh bererti akan dikasihi oleh-Nya. Dikasihi oleh-Nya bererti beroleh kebahagiaan hidup.

MashaALLAh! Subhanallah!

Pecahkan Tembok Keegoan Dalam Diri

Melakukan perubahan bererti kita akan belajar benda yang baru. Melalui pengalaman baru yang akan membuatkan kita sedar akan hakikat kehidupan yang sebenar meskipun kadang kala kehidupan ini sukar diungkapkan bagaimana pengakhirannya.
Kadang kala, kita malu untuk bertanya atau memulakan sesuatu tindakan kerana takut dipandang serong oleh orang lain. Takut kehilangan kasih sayang keluarga dan kawan-kawan. Dan kadang kala juga, kita teragak-agak untuk memulakan perubahan kerana memegang keegoan dek kerana malu berdepan dengan orang ramai.

Sahabat, untuk berubah, ada kalanya kita kena tolak jauh-jauh perasaan malu dan ego itu sendiri. Memeliharanya pada tempat yang salah akan memakan diri kita sendiri. Sedangkan, sebenarnya ramai orang yang memberi sokongan dan kita mendapat doa dari orang-orang yang beriman..

“Ya ALLAh, engkau ampunkanlah dan peliharalah seluruh kaum muslimin dan muslimat…”

Dan selalulah meminta perlindungan daripada ALLAh SWT dari syaitan dan nafsu yang membawa kita ke lembah kegelapan.
EGO? Pecahkan ia!
Rahmat ALLAh? Kejarlah! Kerana, ALLAh selalu ada untukmu. Senyum.
Mari berubah ke arah yang lebih baik dan lebih baik serta lebih baik.
Semoga ALLAh merahmati.

No comments:

Post a Comment